Warga emas disamun dalam perjalanan ke masjid untuk solat Subuh
Bernama
Oktober 9, 2017 19:16 MYT
Oktober 9, 2017 19:16 MYT
Sepasang warga emas yang sedang dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh disamun dua lelaki bertopeng di perkarangan rumah mereka di Kampung Alor Lintang dekat sini kira-kira 5.35 pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Kamsani Hassan berkata pasangan itu telah diikat kedua-dua suspek yang bersenjatakan sebilah pisau sebelum melarikan beberapa barang milik mangsa termasuk wang tunai yang kesemuanya berjumlah RM30,000.
Bagaimanapun, katanya, pasangan warga emas yang berumur 70 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kejadian itu berkata semasa suami mangsa yang merupakan pesara guru sedang menghidupkan enjin keretanya apabila kedua-dua suspek datang mengugutnya lalu mengikat mangsa dengan wayar kabel dan dibiarkan di sisi kereta.
Suspek kemudian naik ke rumah mangsa setelah mengambil kunci rumah daripada mangsa dan mengikat isteri mangsa yang ketika itu sedang membaca Al-Quran. Suspek kemudian melarikan diri sebaik melarikan beberapa barangan berharga milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Kamsani, antara barangan yang dilarikan ialah seutas gelang emas, dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan wang tunai RM2,500 yang kesemuanya berjumlah RM30,000.
Siasatan awal mendapati suspek kemungkinan adalah penduduk tempatan atau dari negeri-negeri Pantai Timur berdasarkan gaya pertuturan menggunakan dialek Kelantan.
"Semasa menyamun, kedua-dua suspek memakai baju lengan panjang berwarna gelap dan seluar hitam di samping memakai sarung tangan yang juga warna hitam. Kedua-dua suspek kini masih diburu," katanya.
-- BERNAMA