Warga emas dipenjara 10 tahun, satu sebatan kerana merogol anak rakan
Radhi Muslim
Mac 16, 2022 16:58 MYT
Mac 16, 2022 16:58 MYT
SANDAKAN: Seorang warga emas warga Filipina dijatuhi hukuman 10 tahun penjara dan satu sebatan selepas mengaku bersalah merogol seorang remaja perempuan yang juga anak perempuan rakannya lima tahun lalu.
Hakim Darmafikri Abu Adam, menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Man Lebba @ Manda, 64 tahun, selepas membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen, Sandakan, pada Rabu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh merogol mangsa yang ketika itu berumur 13 tahun 10 bulan, warganegara tempatan, sekitar jam 7 malam hingga 5 pagi, di sebuah bilik rumah di Kampung Sim-Sim, Sandakan, sekitar Februari 2017.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tidak kurang 10 tahun penjara hingga 30 tahun penjara dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Sebelum dijatuhi hukuman, lelaki itu sempat membuat rayuan agar hukuman diringankan kerana sudah berusia 64 tahun dan memiliki isteri yang lumpuh serta perlu penjagaan rapi.
Bagaimanapun, pasukan pendakwaan meminta hukuman yang setimpal dikenakan ke atas lelaki terbabit berdasarkan beberapa faktor.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mark Kenneth Netto, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.