Warga emas dilapor hilang ditemukan lemas di Sungai Pengkalan
Sinar Harian
November 18, 2024 18:30 MYT
November 18, 2024 18:30 MYT
ALOR GAJAH: Warga emas yang dilaporkan hilang sejak awal pagi Ahad ditemukan lemas di Sungai Pengkalan, Taman Persisiran Sungai di sini pada petang Isnin.
Ringkasan AI
- Mokthar Othman, 61, yang dilaporkan hilang sejak awal pagi Ahad, ditemukan lemas di Sungai Pengkalan pada petang Isnin, kira-kira 200 meter dari lokasi dia dipercayai tergelincir.
- Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menghadapi kesukaran kerana arus sungai deras, namun berjaya menemui mayat setelah bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menurunkan paras air.
- Mangsa dilaporkan tergelincir ke dalam sungai selepas tandas awam yang ingin digunakan berkunci, dan pemeriksaan bomba tidak menemukan mangsa di dalam tandas tersebut.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba, Tc Zulkhairani Ramli berkata, mayat Mokthar Othman, 61, yang lengkap berpakaian ditemukan pada jam 2.25 petang.
Menurutnya, mangsa berjaya ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira 200 meter dari lokasi warga emas itu dipercayai tergelincir kira-kira jam 2 pagi Ahad.
"Kita telah lakukan SAR di lokasi sama semalam, namun berdepan kesukaran kerana arus sungai deras.
“Hari ini kita minta bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk menutup Pintu Air Kampung Gadek seawal jam 8 pagi ini bagi menurunkan paras air di kawasan pencarian," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Jelasnya, maklumat yang diterima apabila orang awam ternampak objek berwarna putih terapung pada jarak 200 meter dari lokasi terakhir mangsa dikesan pada jam 2.25 petang.
"Kami kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati benar penemuan mayat seorang lelaki lengkap berpakaian,” katanya lagi.
Terdahulu, media pada Ahad melaporkan seorang pengurus kilang dikhuatiri lemas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Pengkalan ketika dipercayai berada di tebing sungai tersebut.
Warga emas terbabit sebelum itu sempat memberitahu isterinya yang dia sakit perut dan mahu menggunakan tandas awam di Taman Rekreasi Seri Sutera, Sungai Pengkalan di sini namun berkunci.
Menerusi kamera di papan pemuka kereta memaparkan mangsa kelihatan mundar-mandir di hadapan tandas dipercayai disebabkan ia berkunci kira-kira jam 2 pagi.
Bagaimanapun pemeriksaan bomba sebaik pintu tandas dibuka juga tidak menemukan lelaki terbabit.ends -Sinar Harian