Warga emas dikhuatiri lemas selepas tercampak ke laut

Adie Sufian Zulkefli
Disember 22, 2015 22:45 MYT
Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa Abdullah Mat Ali, 53 tahun dan rakannya Amri Harun, 31 tahun tercampak ke laut kira-kira 20 meter daripada bot mereka. - Foto Astro AWANI
Seorang warga emas dikhuatiri lemas selepas bot candat sotong yang dinaikinya dilanggar bot pengangkut kenderaan yang sedang perjalanan dari Kuala Kedah ke Langkawi.
Pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa Abdullah Mat Ali, 53 tahun dan rakannya Amri Harun, 31 tahun tercampak ke laut kira-kira 20 meter daripada bot mereka.
Menurut Ketua Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Suhaime Abdul Wahab, dalam kejadian kira-kira 12.20 tengah malam tadi (malam Isnin) hanya Amri sempat diselamatkan oleh kapten kapal berkenaan. Abdullah bagaimanapun hanya sempat menjerit sebelum hanyut dibawa arus deras.
"Kejadian pelanggaran berkenaan mungkin disebabkan faktor angin dan menyebabkan bot itu telah tenggelam sedikit sehingga mangsa tercampak ke dalam laut," katanya.
Jelas beliau, laporan diterima pihaknya kira-kira jam 2 pagi dan operasi menyelamat dijalankan bermula jam 8 pagi tadi.
Difahamkan Abdullah dan rakannya keluar rumah kira-kira jam 5 petang semalam untuk melakukan aktiviti mencandat sotong.
Operasi menyelamat kini masih diteruskan APMM dan dibantu Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dengan kekuatan semua anggota kira-kira 30 orang.
#abdullah mat ali #amri harun #bot. candat sotong #lemas #suhaime abdul wahab #warga emas
;