Warga emas dikhuatiri lemas di sungai berdekatan Gua Ikan
Bernama
Oktober 28, 2020 07:28 MYT
Oktober 28, 2020 07:28 MYT
PADANG BESAR: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas ketika mandi bersendirian di sebatang sungai berhampiran Gua Ikan dekat sini pagi semalam.
Kejadian itu disedari ahli keluarganya selepas Lee Ah Kau, 72, gagal datang menjemput cucunya untuk dihantar ke sekolah.
Menurut anak perempuan mangsa, Lee Ming Hooi, 48, dia bertindak keluar mencari ayahnya itu selepas dimaklumkan oleh ibunya bahawa ayahnya tidak datang menjemput anaknya ke sekolah.
“Ibu tinggal berasingan bersama dua anak saya di Taman Kaki Bukit dan menjadi rutin bapa menjemput anak saya di rumah ibu untuk dihantar ke sekolah setiap pagi.
“Selepas ibu beritahu bapa tidak datang, saya keluar mencari bapa di kawasan berhampiran sebelum menemukan motosikal serta pakaiannya di tepi sungai di depan Gua Ikan pada kira-kira 7 pagi tadi,” katanya kepada Bernama di sini.
Ibu dua anak itu percaya bapanya mandi di sungai berkenaan kerana rumahnya mengalami gangguan bekalan air sejak Selasa.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perlis Muhamad Firdaus Yusof berkata sepasukan pegawai dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Besar dan Pasukan Penyelamat Di Air BBP Kangar digegaskan ke lokasi sebaik pihaknya menerima laporan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula 9.30 pagi tadi dengan menggunakan teknik pencarian di permukaan air melibatkan 10 anggota dan dua orang penyelam.
“Operasi pencarian agak mencabar berikutan paras air dalam gua yang tinggi dan arus air yang deras,” katanya.
Operasi SAR ditangguh pada 6 petang semalam selepas keadaan semakin gelap dan akan bersambung hari ini, katanya.
-- BERNAMA
#warga emas
#lemas
#mencari ayah
#menjemput cucu
#balik sekolah
#mandi
#Sungai
#Gua Ikan
#Taman Kaki Bukit
#motosikal
#pakaian
#gangguan bekalan air
#Kangar
#bomba
#Muhamad Firdaus Yusof
#pencarian
#SAR