Warga emas dikhuatiri dibaham buaya belum ditemui
Lynch Cowan
Julai 8, 2020 12:19 MYT
Julai 8, 2020 12:19 MYT
Enam hari sudah berlalu, namun usaha mencari seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri dibaham buaya ganas di Sungai Undey, Kampung Tampan Pusa, di sini, masih tidak berhasil.
Sarkawi Talip yang berusia 61 tahun dipercayai dibaham buaya pada 2 Julai lalu, kira-kira jam 3 petang, semasa tiga rakannya ke Sungai Undey bagi tujuan mengambil batang rumbia.
Ibu Pejabat Polis Daerah Pusa menerima laporan kejadian pada hari yang sama, jam 3.45 petang, dan seterusnya meminta bantuan pasukan bomba untuk usaha mencari dan menyelamat mangsa.
Menurut saksi, iaitu rakan mangsa, semasa kejadian, mangsa berada di tepi sungai sedang mengikat batang rumbia dan tiba-tiba disambar dan diheret oleh seekor buaya ke hulu sungai.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, selain pasukan bomba, agensi lain yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) ialah polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.
Jurucakapnya berkata, pasukan SAR meneruskan operasi pada jam 9.30 pagi ini
"Operasi tertumpu pada radius 3 kilometer ke hulu Sungai Undey serta anak-anak sungai dan 6km ke muara sungai.
"Namun, setakat tengah hari ini, belum ada petunjuk baru dan mangsa masih belum dijumpai," katanya.