Warga emas didenda RM6,000, langgar dua beranak sehingga cedera parah
Bernama
Julai 3, 2019 19:26 MYT
Julai 3, 2019 19:26 MYT
Seorang lelaki warga emas yang juga pemandu van jenazah didenda RM6,000, selepas mengaku salah di Mahkamah Majistret Tawau hari ini kerana cuai ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan dan dua beranak cedera parah pada Januari lalu.
Mustafa Koral, 67, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Herlina Muse atas pertuduhan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM4,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.
Majistret turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Dalam pada itu, mahkamah turut mengarahkan lesen memandu Mustafa dibatalkan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mustafa yang memandu kenderaan Hyundai Getz didakwa memandu tanpa cermat dan perhatian sewajarnya di kawasan tamu Batu 5, Jalan Apas kira-kira jam 4.40 petang pada 19 Januari lepas.
Mengikut fakta kes, tertuduh dari arah masjid Al-Raudahtul Jannah menuju ke rumahnya yang perlu melalui kawasan pasar tamu.
Ketika melalui pasar tamu itu, tertuduh terpijak pedal minyak yang sepatutnya pedal brek untuk memperlahan kenderaan kerana melalui lorong sempit yang menempatkan gerai di kiri dan kanan lorong.Akibat kecuaian itu, kenderaan dipandu tertuduh hilang kawalan dan merempuh gerai di pasar tamu sekali gus melanggar Abdul Rahman Paddu bersama anaknya Ahmad Abdullah yang ketika itu sedang membeli buah di sebuah gerai.Kemalangan itu mengakibatkan Abdul Rahman dan anaknya cedera parah.
Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, ASP Joan Lee.
-- BERNAMA