Warga emas didenda RM2,000 gara-gara fitnah kenalan dijangkiti COVID-19

Shuhada Abdul Kadir
Mac 27, 2020 14:53 MYT
Tertuduh juga diarah hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.
Padah membuat fitnah seorang kenalan dijangkiti COVID-19 dan menyebarkan melalui kumpulan WhatsApp, seorang warga emas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada Jumaat.
Tertuduh Alias Samad, 63 tahun dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membuat penyataan di kumpulan WhatsApp 'TTHAM RADIO' dengan mendakwa kononnya bapa pengadu kes itu telah masuk wad disyaki COVID-19 kerana baru pulang dengan kumpulan tabligh dan enngan mendapatkan rawatan dengan niat menyebabkan ketakutan awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 1377, Jalan Baru, Kampung Jambatan Duyung Melaka kira-kira jam 9.26 malam, 20 Mac lalu.
Justeru tertuduh yang bekerja sendiri itu didakwa mengikut Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Mohd Nabilalif Mohd Rosli memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh malahan masyarakat ekoran tindakan berkenaan boleh mencetuskan panik dan mengganggu ketenteraman awam.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan memandangkan dia hanya bekerja sendiri dan menanggung tiga anak selain mengakui tersilap orang.
Muhamad Nazrin pada penghakimannya kemudian sempat berkata, adalah menjadi kesalah untuk menyebarkan maklumat tanpa usul periksa sebelum menjatuhi hukuman denda RM2,000.
Tertuduh juga diarah hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.
#Alias Samad #COVID-19 #fitnah #koronavirus #Mahkamah Majistret Ayer Keroh #Melaka #sebar maklumat palsu
;