Warga emas didakwa tembak kucing jiran sampai mati
Shuhada Abdul Kadir
November 30, 2022 14:13 MYT
November 30, 2022 14:13 MYT
AYER KEROH: Tindakan seorang warga emas menembak seekor kucing milik jirannya sehingga mati, membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Tertuduh Aziz Tambi, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menembak seekor kucing dengan senapang angin sehingga menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap haiwan berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Tanjung Minyak, Bukit Rambai di dalam Daerah Melaka tengah kira-kira pukul 2.30 petang, 18 Jun 2022 lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan mengambil kira kesalahan diilakukan adalah serius.
Hakim Darmafikri kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 11 Januari depan.
Sementara itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan berasingan memiliki selaras senapang angin tanpa lesen yang sah di lokasi sama pada keesokan harinya, di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pada prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin, tertuduh dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2,500 serta menetapkan tarikh sebutan sama di Mahkamah Sesyen.
Tertuduh diwakili peguam Ishak Kari.