Warga emas didakwa cuai, sebabkan kematian rakan ketika berburu
Bernama
Mac 11, 2020 17:36 MYT
Mac 11, 2020 17:36 MYT
Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan iaitu cuai sehingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera ketika berburu dan memiliki senapang tanpa permit, bulan lepas.
Tertuduh, Abdullah Senan, 69, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dinie Syazwan Ab Shukor.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuai hingga menyebabkan kematian Mohd Sazuki Shafeii, 48, di bukit Kampung Gong Genor, Pasir Puteh, antara 6.30 petang dan 7.30 malam pada 29 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, pada masa, tarikh dan lokasi yang sama, Abdullah didakwa menggunakan selaras senapang patah tanpa jenama dan tanpa lesen atau permit yang sah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Adha Amir Yasser Amri mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin namun tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kelantan memohon jaminan dikurangkan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga dan mempunyai anak yang masih bersekolah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 April sebagai sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan seorang pesara tentera maut selepas terkena tembakan sebutir peluru penabur di bahagian dada, yang dilepaskan rakannya sendiri yang menyangkakan mangsa seekor haiwan buruan.
-- BERNAMA