Warga emas didakwa cederakan rakan
Sinar Harian
November 6, 2024 15:43 MYT
November 6, 2024 15:43 MYT
MELAKA: Seorang warga emas lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan mencederakan rakannya hingga parah.
Tertuduh, K Govindaraju, 68, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas rakannya, V Govinda Rajoo, 62.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pondok berhampiran alamat bernombor 26, Jalan Bertam Jaya 8, Taman Bertam Jaya di sini, pada jam 10.30 pagi, 26 Oktober lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 ke atas tertuduh.
Peguam Nigel Tay yang mewakili tertuduh merayu jaminan minimum memandangkan tertuduh tidak bekerja dan dia kini ditanggung oleh anak-anaknya.
Hujahnya, tertuduh juga menghidap penyakit tiga serangkai iaitu jantung, darah tinggi dan kencing manis selain isterinya juga menghidap penyakit diabetes.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi.
Mahkamah turut menetapkan 12 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. -- Sinar Harian