Warga emas diami bangunan terbiar penuh sampah diselamatkan

Sinar Harian
Jun 22, 2022 10:50 MYT
Seah Shoo Chin (kiri) sedang memujuk seorang warga emas yang enggan berpindah dari mendiami sebuah bangunan terbiar, pada Rabu. - Foto Sinar Harian
MELAKA: Seorang warga emas yang terlantar sakit di atas tilam nipis dan kotor di sebuah bangunan terbengkalai di sini diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Warga emas berusia 63 tahun itu dipercayai mendiami bangunan dipenuhi sampah sarap dan sisa bangunan serta makanan itu sejak lebih dua tahun lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin berkata, individu berkenaan telah lama tinggal di Melaka dan pernah bekerja sebagai juruteknik pendawaian elektrik sebelum sakit.
Menurut Shoo Chin, warga emas itu tidak boleh bangun akibat sakit pada kaki serta hanya mengharapkan simpati penduduk sekitar untuk memberinya makan dan minum.
"Menyedihkan kerana dia terpaksa membuang air kecil dan besar berdekatan tempat tidurnya kerana sukar untuk bergerak hingga menyebabkan tempat ini berbau kurang menyenangkan.
"Melihat keadaan ini, dia perlu dipindahkan segera ke tempat lain sebelum memaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar nasib individu ini terbela," katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.
Shoo Chin berkata, pihaknya bersama wakil JKM mengambil masa kira-kira 20 minit untuk membawa turun individu itu disebabkan dia enggan berpindah dari kawasan itu.
"Namun dia perlu dipindahkan demi keselamatan dan kesihatan lebih baik serta kehidupan lebih terjamin di bawah pemerhatian JKM," katanya.
Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Burhanuddin Bachik berkata, warga emas itu ditempatkan di Pertubuhan Rumah Kebajikan Villa Harapan di Duyong.
Menurutnya, JKM akan terus memberikan perhatian kepada sesiapa sahaja terutama golongan memerlukan bantuan.
"Kami masih menunggu laporan berhubung individu itu daripada pegawai JKM Melaka Tengah seterusnya mengesan waris kepada warga emas terbabit," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#warga emas #Jabatan Kebajikan Masyarakat #bangunan terbiar #sampah sarap
;