Warga emas di Kuala Nerus disahkan dijangkiti malaria manusia
Sharom Abu Bakar
November 26, 2019 15:46 MYT
November 26, 2019 15:46 MYT
Seorang warga emas lelaki berusia 78 tahun dari Kampung Tepoh, Kuala Nerus disahkan dijangkiti malaria manusia jenis Plasmodium Malariae pada 23 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, hasil siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus turut mengesan empat warga Indonesia yang menghidap jangkitan malaria jenis sama.
Dr Alias berkata, kesemua warga asing yang bekerja di negara asal mereka dan datang ke Terengganu secara persendirian itu, bagaimanapun tidak mengalami tanda-tanda jangkitan malaria.
"Kita mengesyaki bahawa kes ini ada hubung kait dengan kes yang diimport atau dibawa masuk daripada Indonesia. Sekarang ini pihak kesihatan sedang membuat satu case detection dengan mengambil sampel darah daripada penduduk-penduduk yang kita kira jangkauan terbang nyamuk sekitar itu untuk memastikan bahawa tidak ada lagi kes malaria yang berjangkit dari pesakit di sekitar itu.
“Setakat ini belum kita temui yang positif selain dari kes ini, jadi kita harap begitulah dan seterusnya, harapan kita supaya tidak ada jangkitan lanjut daripada kes di Tepoh ini ke tempat lain kerana jangkitannya sangat mudah melalui gigitan nyamuk anopheles, nyamuk tiruk,” katanya ketika ditemui di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.
Tambahnya, kesemua mangsa warga tempatan serta warga asing yang dijangkiti malaria telah dirawat dan buat masa ini situasi malaria di Kuala Nerus adalah terkawal dengan tiada jangkitan baru dikesan.
Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus giat menjalankan aktiviti saringan ujian darah beramai-ramai dan saringan kes demam terhadap penduduk di lokaliti kes bagi mengesan kemungkinan jangkitan malaria menular.
Terdahulu, rekod di Jabatan Kesihatan Negeri menunjukkan kes terakhir malaria bukan tempatan jenis itu dikesan di Mukim Hulu Chukai, Kemaman iaitu pada 2012.
#Indonesia
#Kampung Tepoh
#kesihatan
#Kuala Nerus
#Malaria Manusia
#nyamuk tiruk
#terengganu
#warga emas