Warga emas dan anak ditahan, miliki 8,990 gram ganja
Adie Sufian Zulkefli
Januari 27, 2022 15:23 MYT
Januari 27, 2022 15:23 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga emas berusia 75 tahun dicekup bersama anak lelakinya berusia 52 tahun kerana memiliki dadah jenis ganja anggaran berat 8,990 gram dalam serbuan di tepi jalan Kampung Teluk, Sungai Layar, Sungai Petani, Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kedah, Asisten Komisioner Mohd Taufik Maidin berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah pada jam 2 petang.
Beliau berkata, pihaknya menahan sebuah kereta jenis Proton Saga yang berhenti di lokasi serbuan dan berjaya menahan dua lelaki tempatan yang disyaki tokan dadah.
"Hasil pemeriksaan di dalam kereta itu menemui sembilan ketulan mampat dibaluti plastik lutsinar dan aluminium foil disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 8,990 gram.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah adalah RM22,500 dan hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama berusia 75 tahun positif dadah manakala suspek kedua negatif dadah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Taufik berkata, kedua-dua suspek tidak mempunyai kesalahan lampau dan mempunyai pertalian keluarga iaitu bapa dan anak.
Susulan tangkapan dan rampasan dadah, pihaknya turut menyita harta kedua-dua saspek iaitu wang tunai bernilai RM1,012.
"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai 25 Januari lalu hingga 31 Januari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kejayaan ini adalah hasil usaha JSJN Kedah dalam memastikan aktiviti pengedaran dadah berbahaya berjaya di tumpaskan," katanya.
Dalam pada itu, polis juga sentiasa memerlukan kerjasama serta penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah yang berlaku di sekeliling mereka kepada pihak polis.