Warga emas dakwa digertak, dimarahi ADUN
Nazialita Geynna Maharan
November 27, 2017 20:12 MYT
November 27, 2017 20:12 MYT
Seorang warga emas mendakwa diugut dan digertak oleh seorang wakil rakyat negeri ini berkaitan kes bayaran perkhidmatan juri pertandingan karaoke yang gagal dilunaskan.
Dalam laporan polisnya, Lee Toh Chee @ Lee Wah, 77, mendakwa dia telah pergi berjumpa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tersebut pada September lepas untuk meminta bayaran sebagai juri dalam sebuah konsert amal.
Katanya, perjumpaan tersebut bertukar menjadi keruh apabila ADUN dari parti pembangkang berkenaan bertindak memaki serta memarahi, malah menggugutnya, ketika dia meminta baki bayaran sebanyak RM600.
Dia mendakwa, pada pertemuan itu, dia turut diherdik pembantu khas ADUN tersebut yang bertindak menghentak meja dan memarahinya.
“Saya dimarahi oleh ADUN tersebut dan pembantu khasnya. Beliau juga mengatakan beliau mempunyai banyak kenalan di sini sana, dan pada masa sama, meletakkan duit di atas meja.
“Lebih teruk, beliau mengakui mempunyai kabel dengan kongsi gelap dan orang penting, seolah-olah ingin menakutkan saya. Katanya, dia ada wang, mahu beri boleh, tak mahu beri pun boleh. Kalau tak boleh beri, satu sen pun saya tak boleh beri," kata Lee Wah pada satu sidang media di Pejabat MCA Perak, di sini, hari ini.
Katanya, pada perjumpaan itu, dia menerima RM200, tetapi wang itu diserahkannya kepada rakan juri yang turut menemaninya ketika itu.
Jelasnya, dia kesal apabila dilakukan seperti orang yang terkejar-kejar berkehendakkan duit dan dakwanya, kejadian itu mengguris kredibilitinya sebagai seorang guru muzik selama lebih 50 tahun.
Akhirnya, katanya, dia menerima baki bayaran penuh pada 17 November lepas dan ingin melupakan perkara tersebut kerana ia telah selesai namun lain pula yang terjadi.
Pada 20 November, kata Lee Wah, dia menyedari bahawa seorang pengguna laman sosial telah memuat naik gambarnya ke Facebook dan mencemuhnya dengan pelbagai perkataan yang kurang elok dan memalukan.
"Saya tak sangka dia sanggup buat begitu. Sedangkan saya datang untuk menuntut hak saya, seperti yang telah dijanjikan sebelum konsert amal itu bermula,” katanya sambil menambah dia yakin ADUN tersebut mengenali individu itu.
Lee Wah berkata dia mahu kedua-dua individu yang memuat naik gambarnya dan wakil rakyat pembangkang itu meminta maaf kepadanya.
Sementara itu, Pengerusi MCA Ipoh Barat, Aldrich Low Guo Nan berkata pihaknya mengganggap tindakan pengguna laman sosial tersebut telah menjatuhkan imej seorang guru muzik yang cukup disegani di Ipoh.
Katanya, perlakuan tersebut boleh dikelaskan sebagai pembulian siber di mana maruah Lee Wah telah tercalar dengan posting sebegitu yang mengandungi kata-kata kasar dan tidak sewajarnya digunakan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby mengesahkan menerima laporan berkenaan di Balai Polis Kg Simee dan akan menjalankan siasatan lanjut.
#ADUN
#Aldrich Low Guo Nan
#buli siber
#Facebook
#guru muzik
#juri
#konsert amal
#laporan polis
#MCA
#Mohd Ali Thamby
#parti pembangkang
#warga emas