Warga emas cemas cincin tersekat di jari hantu
Norfarhiza Mohd Atar
Disember 30, 2022 11:30 MYT
Disember 30, 2022 11:30 MYT
LIPIS: Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila cincin dipakai di jarinya tidak dapat ditanggalkan.
Tidak tahan menanggung kesakitan, Munah Tawang, 87, dibawa ahli keluarga ke Klinik Kesihatan Chegar Perah, dekat sini, pada petang Khamis setelah jari hantu (tengah) di tangan kirinya mula membengkak dan kemerahan.
Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan daripada petugas klinik berkenaan pada jam 4.03 petang berikutan cincin emas itu sukar ditanggalkan.
"Tiga anggota bomba menaiki kenderaan EMRS tiba di Klinik Kesihatan Chegar Perah pada jam 4.57 petang dan berjaya menanggalkan cincin emas ini setelah mengambil masa selama hampir 15 minit," katanya, di sini, hari ini.
Menurut Haslizan, anggota bomba menggunakan alat pemotong khas (ring cutter) untuk mengeluarkan cincin itu dan mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan.
"Kerja menanggalkan cincin emas ini dengan peralatan khas dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak mencederakan jari tangan mangsa berkenaan," katanya.
Katanya lagi, orang ramai dinasihat agar berhati-hati memakai alat aksesori seperti cincin di jari atau gelang di pergelangan tangan yang berkemungkinan sukar ditanggalkan sekiranya pemakaian dalam tempoh yang panjang.