Warga emas cedera parah kemalangan dengan lori tangki

Radhi Muslim
Julai 6, 2019 21:11 MYT
Mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dilaporkan parah pada kaki dan badan. - Foto ihsan bomba
Seorang wanita warga emas cedera parah selepas tersepit apabila kenderaan yang dipandunya bertembung sebuah lori tangki di Batu 25, Jalan Sandakan - Kota Kinabalu, petang Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang, Salasiah Sulaiman, 66, yang memandu kereta jenis Perodua Myvi dilaporkan parah pada kaki dan badan.
Berdasarkan makluman awal yang diterima, wanita itu dipercayai sedang memotong namun kenderaan dipandunya bertembung dengan lori terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, seramai 12 anggota bomba menggunakan dua jentera termasuk anggota BBP Kinabatangan bergegas ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, mangsa yang tersepit segera dikeluarkan lalu dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan," katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.
Menurutnya, operasi berakhir sepenuhnya pada jam 4.38 petang.
#Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan #Hospital Duchess of Kent #Jalan Sandakan #kemalangan lori tangki #Salasiah Sulaiman #wanita warga emas #warga emas cedera parah #warga emas kemalangan
;