Warga emas cedera kereta dipandu terlanggar anak gajah
Bernama
Mac 13, 2025 11:30 MYT
Mac 13, 2025 11:30 MYT
Siasatan polis mendapati, kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa dari arah Kluang ke Mersing terlanggar seekor anak gajah yang sedang melintas jalan bersama sekumpulan gajah yang lain. - Gambar hiasan
MERSING: Seorang lelaki warga emas cedera apabila kenderaan dipandunya terlanggar seekor anak gajah yang sedang melintas jalan di Kilometer 30 Jalan Nitar-Mersing di sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata mangsa berusia 70 tahun itu, mengalami kecederaan pada bahagian leher dan pergelangan tangan kiri serta masih menerima rawatan di Hospital Kluang.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu daripada orang awam, kira-kira pukul 9 malam.
"Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Toyota Altis yang dipandu mangsa dari arah Kluang ke Mersing, telah terlanggar seekor anak gajah yang sedang melintas jalan bersama sekumpulan gajah yang lain.
"Kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaannya sebelum diselamatkan oleh pengguna jalan raya yang lain. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kluang akibat kecederaan pada bahagian leher serta pergelangan tangan kiri dan masih menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Razak berkata pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Mersing, yang mengambil tindakan segera menguruskan bangkai anak gajah berkenaan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).
"Pada masa sama, kita ingin mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa peka dan berwaspada ketika memandu di kawasan lintasan hidupan liar, terutamanya pada waktu malam," katanya.
-- BERNAMA