Warga emas cedera digigit kongkang

Adie Sufian Zulkefli
Mei 24, 2019 17:42 MYT
Warga emas yang digigit kongkang dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah. - Gambar hiasan
Seorang lelaki berusia 65 tahun cedera akibat digigit seekor kongkang jantan dalam satu kejadian di rumahnya di Kampung Alor Melintang, Jalan Datuk Kumbar, di sini, pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi itu, warga emas yang juga pesara guru itu mengalami kecederaan pada jari telunjuk tangan kanannya.
Dia kemudiannya dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), menurut Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Setar, Leftenan (PA) Mohammad Rizal Abdul Razak.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8 pagi.
“Seramai tiga anggota telah bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap kongkang tersebut,” tambahnya, dalam satu kenyataan hari ini.
Sebaik tiba di lokasi, haiwan itu atau nama saintifiknya Nycticebus coucang, telah ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak APM.
“Dalam kejadian ini, seorang warga emas mengalami kecederaan pada jari akibat digigit kongkang dan mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital,” ujar Mohammad Rizal.
Haiwan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk tindakan lanjut.
Dia menasihatkan orang ramai agar tidak bertindak sendiri ketika berhadapan dengan haiwan yang agresif bagi mengelak kejadian tidak diingini.
#Alor Setar #gigit #Hospital Sultanah Bahiyah #Kampung Alor Melintang #Kongkang #Nycticebus coucang #pesara #warga emas
;