Warga emas cedera digigit anjing liar ketika pulang dari bazar
Sinar Harian
Mac 12, 2025 10:30 MYT
Mac 12, 2025 10:30 MYT
Kecederaan yang dialami mangsa selepas digigit anjing liar dalam kejadian Isnin lalu. - Foto Sinar Harian
REMBAU: Seorang warga emas cedera di jari dan punggung selepas digigit anjing liar dalam kejadian di hadapan Stesen Komuter Rembau pada Isnin.
Dalam kejadian jam 6 petang, tukang kebun berusia 69 tahun itu bersama isteri berusia 58 tahun berjalan kaki pulang ke rumah dari bazar Ramadan sebelum dikejar seekor anjing di kawasan tersebut.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, pengadu cuba menghalang dengan bertindak membaling batu tetapi anjing berkenaan terus menggigit mangsa.
"Pengadu terus memukul anjing tersebut dan berjaya melepaskan diri sebelum mangsa dibawa oleh jiran yang kebetulan melalui kawasan tersebut ke Hospital Rembau untuk menerima rawatan dan dihantar balik ke rumah.
"Pengadu masih menerima rawatan susulan di Hospital Rembau, termasuk suntikan bagi mencegah jangkitan anjing gila yang perlu diambil sebanyak enam kali sehingga 30 Mac ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Katanya, pengadu mendapati anjing tersebut tidak bertuan kerana tidak pernah nampak mana-mana individu yang membawa atau bersama anjing tersebut.
Tambah beliau, anak pengadu akan membawa laporan polis untuk dirujuk kepada Majlis Daerah Rembau bagi tindakan menangkap anjing-anjing liar yang berkeliaran di kawasan tersebut.
"Kawasan itu merupakan laluan awam, dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang kepada orang lain," tambahnya. - Sinar Harian