Warga emas bimbang buaya sesat dalam rumah dinaiki air

Sinar Harian
September 22, 2021 08:02 MYT
Keadaan sebuah rumah penduduk dinaiki air di Kampung Tanjong Siam di sini pada Selasa. -Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Seorang warga emas yang menetap di Kampung Tanjong Siam di sini bimbang banjir yang melanda kediamannya mengundang kehadiran buaya Sungai Selangor.
Hasnah Jalil, 68, berkata, rumahnya itu hanya terletaknya kira-kira 10 meter dari Sungai Selangor yang terkenal dengan habitat buaya.
"Saya takut jika air banjir masuk ke dalam rumah ada buaya dari Sungai Selangor tersesat ikut sekali.
"Biarpun kejadian ini tidak pernah berlaku, tetapi saya bimbang juga," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pasangan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut banjir itu, Hasnah berkata, kejadian kira-kira jam 6 pagi itu berlaku sebaik dia terjaga daripada tidur apabila limpahan air mula memenuhi tempat tidurnya pada pagi Selasa.
Menurutnya, kejadian air masuk ke dalam rumah disedari selepas kakinya tiba-tiba terasa sejuk ketika sedang nyenyak tidur di dalam rumah.
"Sebaik saya buka mata, tiba-tiba badan menggigil kesejukan dan melihat air sudah melimpah ke keseluruhan rumah.
"Saya sempat mengemas barangan penting dan mengalihkan peti ais dan mesin basuh di atas batu bata untuk mengelakkan kerosakan," ujarnya.
Menurut Hasnah, air memenuhi rumahnya dengan cepat kerana sebelum ini hanya bahagian dapur digenangi air pada Isnin.
Seorang lagi penduduk, Zoyah Majid, 76, berkata, kejadian banjir melimpah ke dalam rumah disedari sebaik dia pulang dari rumah anaknya.
Katanya, kejadian jam 6 pagi itu menyebabkan kediamannya dipenuhi air setinggi 0.2 meter.
"Semalam (Isnin) saya menumpang tidur di rumah anak perempuan yang terletak berhampiran, sebaik pulang terkejut mendapati rumah sudah dipenuhi air," katanya.
Menurutnya, kejadian banjir kali ini disifatkan agak teruk berbanding tahun sebelumnya.
"Air banjir ini pula kotor dipenuhi lumpur dan ini sudah tentu merungsingkan saya hendak mengemas selepas banjir surut," katanya.
Sementara itu, Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, seramai 35 mangsa daripada 14 Keluarga ditempatkannya di SK Pasangan.
Katanya, PPS itu mula dibuka pada Selasa menempatkan seramai 14 lelaki dan 21 perempuan.
Sehingga kini, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu di SK Rantau Panjang, SK Parit Mahang dan SK Pasangan.
Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kuala Selangor berjumlah 132 mangsa membabitkan seramai 46 keluarga setakat jam 6 petang.
*Berita asal di Sinar Harian
#banjir #Kampung Tanjong Siam #buaya #Kuala Selangor
;