Warga emas bersalah bunuh abang, kakak ipar
Abd Razak Mohd Ali
Julai 16, 2024 17:16 MYT
Julai 16, 2024 17:16 MYT
IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mensabitkan kesalahan seorang warga emas atas dua pertuduhan pindaan membunuh abang dan kakak iparnya dua tahun lalu.
Ringkasan AI
- Kesalahan dan Pengakuan Bersalah: Seorang warga emas, Ng Chun Ming (63 tahun), mengaku bersalah atas dua pertuduhan membunuh. Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan selepas pengakuan tersebut.
- Butiran Pertuduhan: Pertuduhan pertama melibatkan kematian abangnya, Ng Chun Hon (64 tahun), di rumah mereka di Ipoh. Tuduhan kedua pula berkaitan dengan pembunuhan kakak iparnya, Ooi Tin Lu (59 tahun).
- Hukuman yang Mungkin: Kedua-dua pertuduhan dikenakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, hukuman minimum adalah 12 sebatan.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas tertuduh, Ng Chun Ming, 63, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan dalam bahasa Kantonis.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 1 Ogos depan untuk hujahan mitigasi dan hukuman.
Mengikut pertuduhan pertama, warga emas itu didakwa menyebabkan kematian abangnya, Ng Chun Hon, 64, di sebuah rumah di Laluan Bercham Utara 26, Taman Bercham Aman, Ipoh antara 6.45 petang, 6 Julai 2022 hingga 8.20 pagi 7 Julai 2022.
Bagi tuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh kakak iparnya, Ooi Tin Lu, 59, di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Akmal Mod Said manakala tertuduh diwakili peguam Amir Faliq Mohamad Jamil, Afina Abdul Hakim dan Nurhusna Mohd Tharimazi.
Pada 7 Julai 2022, media melaporkan pasangan suami isteri ditemui maut di kediaman mereka di Taman Bercham Aman, dipercayai dibunuh.
Suspek berjaya ditahan polis di Genting Highlands, Pahang pada jam 7.45 petang hari kejadian.