Warga emas beri keranda percuma untuk penduduk kampung
Bernama
Ogos 18, 2024 12:45 MYT
Ogos 18, 2024 12:45 MYT
KUALA NERUS: Seorang warga emas bersama dua anak lelakinya di Kampung Padang Kemunting di Batu Rakit dekat sini, mempunyai cara tersendiri untuk berbakti kepada masyarakat setempat dengan membuat keranda secara percuma.
Mempunyai kemahiran pertukangan kayu setelah berpuluh tahun menjadi tukang rumah, Omar Mohamed, 68, kini menghabiskan usia tuanya dengan membuat keranda untuk diberikan percuma sekiranya ada kematian di Kampung Padang Kemunting dan dua kampung berdekatan iaitu Kampung Alor Gajah serta Kampung Tanjung Kedepan, dengan dibantu anaknya Marozi, 38, dan Maridwan, 36.
"Saya mula buat keranda pada 2012, tetapi pada waktu itu untuk dijual. Malangnya, saya sering hadapi masalah tidak cukup modal untuk membeli peralatan seperti kayu dan sebagainya walaupun mengenakan bayaran. Jadi, pada 2018 saya ambil keputusan untuk beri percuma sahaja keranda ini.
"Alhamdulillah selepas itu banyak pula dana yang saya terima hasil sumbangan orang ramai setelah mengetahui saya buat secara percuma. Kini, saya bukan sahaja sentiasa cukup wang untuk membeli kayu, tetapi saya juga mampu membeli peralatan seperti mesin memotong kayu bagi memudahkan kerja pembikinan keranda," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Padang Kemunting di sini.
Bapa kepada lapan anak itu berkata hatinya juga terdetik untuk membuat keranda dengan percuma apabila mengetahui ada penduduk kampung menghadapi kesukaran membayar kos pengebumian ahli keluarga mereka yang kini lebih RM1,000 termasuk harga keranda sekitar RM250.
Meskipun dia memberikan keranda dengan percuma kepada penduduk dari tiga kampung berkenaan, Omar juga tidak pernah meletakkan sebarang harga sekiranya ada penduduk dari kampung lain ingin membeli keranda buatannya.
"Kepada penduduk Kampung Padang Kemunting, Kampung Alor Gajah dan Kampung Tanjung Kedepan memang kita beri percuma (keranda) tidak kisah si mati itu daripada keluarga kaya atau miskin. Tetapi, bagi penduduk luar kita juga akan beri percuma kalau kita tahu keluarga si mati tidak berkemampuan.
"Malah, kalau keluarga berkemampuan pun saya tidak meletakkan sebarang harga. Cukuplah sekadar seikhlas hati. Ada yang bagi RM20 sahaja tetapi ada juga yang berkemampuan dan tahu saya beri percuma kepada orang miskin jadi ahli keluarga beri lebih pula," katanya.
Dia menghasilkan keranda yang kebiasaannya berukuran tujuh kaki panjang dan 20 inci lebar menggunakan pelbagai jenis kayu seperti kayu pokok durian, kayu pokok kedondong dan kayu pokok pulai yang dibelinya atau disedekahkan penduduk setempat.
Kira-kira 20 keranda katanya, mampu dihasilkan daripada sebatang pokok bersaiz besar dan dia mengambil masa sekitar satu jam untuk menghasilkan sebuah keranda.
"Biasanya kalau tinggal dalam empat atau lima keranda di dalam stor di depan rumah saya ini, saya akan segera cari pokok baharu untuk buat lagi 20 stok kerana kadang-kadang berlaku kematian berturut-turut seperti empat atau lima orang (meninggal dunia) dalam tempoh beberapa hari sahaja," katanya.
Selain itu, lelaki berjiwa murni itu juga menawarkan khidmat menghantar jenazah dari rumah ke masjid atau kubur menggunakan pacuan empat roda miliknya tanpa mengenakan sebarang bayaran.
"Sebelum ini, saya ada sebuah van jenazah terpakai disumbangkan oleh seorang individu tetapi kenderaan itu yang telah berusia lebih 10 tahun asyik rosak, jadi sekarang saya hanya menggunakan Toyota Hilux yang saya beli menggunakan duit KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) beberapa tahun lepas. Tetapi, dua tiga hari lepas masjid di kampung ini ada menerima van jenazah yang baharu, jadi selepas ini mungkin kerja-kerja pengurusan jenazah akan lebih mudah," katanya.
Sementara itu, Maridwan berkata dia bersyukur kerana inisiatif bersama bapa dan abangnya itu turut dibantu beberapa rakan yang menolong membuat keranda pada hujung minggu, tanpa meminta sebarang upah.
"Saya dan rakan-rakan tolong ayah bukan sekadar mengisi masa lapang pada hujung minggu ataupun hobi, tetapi ia lebih kepada saham akhirat. Sebab itu rakan-rakan yang datang buat kerja di sini pada hujung minggu tidak pernah minta upah. Mereka buat secara sukarela," katanya.
Pemuda yang bekerja sebagai tukang rumah itu berazam akan meneruskan kerja amal berkenaan meskipun bapanya telah tiada suatu hari nanti.
-- BERNAMA