Warga emas 83 tahun penderma organ tertua di Sabah
Bernama
Disember 1, 2023 19:14 MYT
Disember 1, 2023 19:14 MYT
KOTA KINABALU: Selvaraju Shanmugam, 83, yang meninggal dunia pada 21 Jun lepas menjadi penderma organ tertua di Sabah apabila keluarganya mendermakan sepasang kornea mendiang bagi membantu dua orang pesakit.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr Asits Sanna berkata Selvaraju yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung tidak berkesempatan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, namun pernah menyatakan hasrat untuk menjadi penderma.
Beliau berkata hasrat mendiang untuk menderma organ itu ditunaikan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini pada hari sama beliau meninggal dunia.
"Pihak kami mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga di atas anugerah kehidupan yang diberikan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau juga memaklumkan penderma organ tertua di Sabah sebelum ini berusia 80 tahun 2 bulan pada 2018, manakala penderma organ termuda berusia 1 tahun 4 bulan pada 2008.
"Jumlah penderma organ kadaverik (setelah meninggal dunia) di Sabah setakat bulan Oktober 2023 adalah seramai 33 orang.
"Kami menyeru orang ramai untuk mendaftar sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera dan maklumkan hasrat itu kepada ahli keluarga terdekat," katanya.
-- BERNAMA