Warga emas 82 tahun maut terhidu asap kebakaran

Adie Sufian Zulkefli
September 22, 2019 20:50 MYT
Dalam kejadian jam 4 petang Ahad itu, mangsa, Harison Kereya, 82, ditemui di bahagian dapur rumah berkenaan dalam keadaan tidak bergerak.
Seorang wanita warga emas meninggal dunia dipercayai lemas akibat terhidu asap tebal selepas rumahnya di Kampung Lubuk Pinang, hangus terbakar.
Dalam kejadian jam 4 petang Ahad itu, mangsa, Harison Kereya, 82, ditemui di bahagian dapur rumah berkenaan dalam keadaan tidak bergerak.
Komander Operasi Balai Bomba Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan jam 4.03 petang dan sepasukan anggotanya tiba di lokasi jam 4.19 petang.
Beliau berkata, operasi disertai sepasukan anggota dan tiga jentera dari BBP Jitra dan turut dibantu anggota BBP Simpang Empat, BBP Arau Perlis dan dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kuala Sanglang dan Lana Bulu.
Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kelas C kayu sepenuhnya dan terbakar hampir keseluruhan.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang mangsa wanita cedera di bahagian muka dan dikeluarkan oleh penduduk kampung sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
Mohd Bustan berkata, mangsa dipercayai melecur di bahagian muka, badan dan kaki.
Berikutan itu, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Punca dan kerugian masih dalam siasatan dan pasukan forensik dari JBPM Kedah untuk siasatan lanjut.
#Balai Bomba Jitra #hangus terbakar #Harison Kereya #JBPM Kedah #kebakaran #maut terhidu asap #wanita warga emas
;