Warga emas 80 tahun jadi sasaran kemarahan disalah sangka culik remaja OKU
Astro Awani
Jun 26, 2021 06:00 MYT
Jun 26, 2021 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang warga emas berusia 80 tahun menjadi sasaran kemarahan apabila disalah sangka melarikan remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 16 tahun di Saujana Rawang dekat sini, pada Sabtu.
Dalam satu rakaman video yang viral di media sosial, seorang wanita dilihat masuk ke dalam sebuah kereta sambil cuba memukul individu dipercayai lelaki terbabit.
Bagaimanapun, Bernama melaporkan Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed, mengesahkan kes berkenaan tidak mempunyai elemen penculikan.
Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati remaja OKU itu, bertindak menahan kenderaan dipandu warga emas itu yang melalui kawasan Bandar Country Homes, Rawang, kira-kira jam 9 pagi, semasa dia berjalan seorang diri tanpa pengetahuan ibunya.
"Lelaki terbabit membenarkan remaja berkenaan berbuat demikian kerana beranggapan dia meminta pertolongan.
"Ibu mangsa berumur 54 tahun yang kemudiannya menyedari ketiadaan anaknya lantas bertanya kepada peniaga di kawasan berhampiran, sebelum dimaklumkan anaknya telah mengikut seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua MyVi berwarna kelabu," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Zainal Mohamed berkata, siasatan awal mendapati kenalan ibu remaja itu memuat naik kejadian yang berlaku itu di beberapa kumpulan WhatsApp, sehingga kereta yang membawa anaknya berjaya ditemui orang awam di Saujana Rawang, kira-kira 12.30 tengah hari.
"Ibu mangsa mendapati anaknya dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan berlaku.
"Hasil siasatan lanjut mendapati lelaki yang didakwa melarikan remaja itu, tidak pasti arah tuju hendak membawa remaja itu, kerana dia hanya mendiamkan diri sehinggalah kereta lelaki berkenaan ditahan beberapa orang awam di sekitar Saujana Rawang," katanya.
Beliau berkata siasatan kes ini tidak ada kaitan dengan kes culik dan ibu mangsa yang membuat laporan polis kes itu, telah menarik kembali laporan polis yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.