Warga emas 80 tahun dicekup 'kantoi' tidak berpuasa, merokok dalam kedai makan
Adie Sufian Zulkefli
April 18, 2021 17:57 MYT
April 18, 2021 17:57 MYT
KUBANG PASU: Seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun memberi alasan hendak ke klinik bagi mendapatkan rawatan ketika dicekup kerana tidak berpuasa dan merokok dalam sebuah kedai makan bukan Islam di Ayer Hitam, di sini hari ini.
Dalam pemeriksaan pukul 10 pagi tadi, anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu (PADKP) yang diketuai Penolong Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Sa'di Said bersama Pejabat Kesihatan Daerah melakukan operasi sempena bulan Ramadan pada Ahad.
Ketika pemeriksaan dilakukan dalam kedai makan itu, lelaki warga emas terbabit dan seorang lagi rakannya dipercayai sedang merokok namun sempat membuang puntung rokok sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa di situ.
Berikutan itu, dua individu terbabit diberi notis supaya hadir ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan pada tarikh yang ditetapkan.
Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Muhammad Suhaimi Salleh berkata, dalam operasi hari ini, seramai enam orang diberi notis kerana disyaki tidak berpuasa di bulan Ramadan.
Beliau berkata, operasi tertumpu di sekitar Ayer Hitam, Kodiang, Tunjang dan Sungai Korok yang bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.
"Kebanyakan mereka yang tidak berpuasa berusia antara 40-an hingga 80 tahun itu memberi alasan tidak larat berpuasa dan sanggup masuk ke kedai bukan Islam untuk merokok.
"Enam orang yang didapati tidak berpuasa itu akan disiasat mengikut Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana tidak berpuasa dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Suhaimi berkata, tiga peniaga premis makanan berusia antara 40-an hingga 50-an itu juga turut diberi notis mengikut Seksyen 31 enakmen sama kerana menggalakkan maksiat dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, ada juga kaki ponteng puasa yang berjaya melarikan diri sebaik pemeriksaan dilakukan di premis di kawasan berkenaan.
"Ini adalah operasi pertama yang dilakukan dalam bulan Ramadan ini untuk memastikan orang ramai menghormati bulan puasa dan tidak makan atau minum serta menghisap rokok selain menjual makanan sebelum pukul 3 petang,” katanya sambil memberitahu operasi yang sama akan diteruskan dari semasa ke semasa.
#warga emas
#80 tahun
#kantoi
#tidak berpuasa
#merokok
#kedai makan bukan Islam
#AYER HITAM
#Kedah
#Pejabat Agama Daerah Kubang Pasu
#ramadan2021