Warga emas 75 tahun patah kaki terjatuh ketika daki gunung
Siti Nur Aqilla Omar
Mac 11, 2023 18:15 MYT
Mac 11, 2023 18:15 MYT
KLUANG: Seorang wanita warga emas patah kaki kanan selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Lambak di sini, hari ini
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Mohd Fauzi Md Nor berkata, mangsa yang berusia 75 tahun mendaki bersama suaminya yang berusia 80 tahun ketika kejadian.
"Pihak kami menerima panggilan penyelamat mangsa pada jam 8.25 pagi. Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati mangsa mengalami cedera patah kaki.
"Pasukan kemudian memberi rawatan awal dan membawa mangsa turun ke kaki gunung menggunakan peralatan menyelamat.
"Suaminya tidak mengalami kecederaan dan selamat, hanya mangsa seorang sahaja yang cedera," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Jelas Mohd Fauzi, mangsa dihantar ke hospital Kluang menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut.