Warga emas 100 tahun pasrah sambut Tahun Baharu Cina sederhana kali ini
Nur Fazlizai Ali
Februari 11, 2021 16:42 MYT
Februari 11, 2021 16:42 MYT
KUALA TERENGGANU: Tidak lengkap rasanya sambutan Tahun Baharu Cina tanpa jamuan makan besar bersama semua ahli keluarga yang dikatakan membawa tuah dan menjadi amalan tradisi sejak sekian lama.
Menu seperti ayam kampung, ikan, udang serta kuih bakul antara sajian wajib ketika jamuan makan besar itu yang disambut meriah dalam suasana kekeluargaan yang meriah dan ceria.
Itulah antara rutin saban tahun warga emas, Lim Seng yang genap usianya 100 tahun pada tahun ini.
Katanya, selama ini, sambutan Tahun Baharu Cina meriah dengan kehadiran anak, cucu serta cicitnya, namun suasana berbeza tahun ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
Begitupun, dia tetap menerima keadaan berkenaan dan berkata akan tetap meraikannya dengan sederhana walaupun tanpa kehadiran ramai ahli keluarga yang tidak dapat pulang.
"Sambutan tahun ini akan dikenang secara berbeza kerana tidak dapat sambut seperti kelaziman susulan pandemik COVID-19. Acara makan besar tetap ada bersama-sama ahli keluarga di sini.
"Tak boleh nak buat apa bagi keluarga yang tidak dapat pulang. Memanglah, kalau anak cucu balik sangat meriah.
"Biasanya, nenek masak Ayam Khai Hong... semua orang sangat suka nenek masak... tapi tahun ini tidak gembira sangat seperti dahulu... Dulu sangat meriah tengok tarian naga, tahun ini duduk diam-diam di rumah," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
Sementara itu menantunya, Fu Sek Sue berkata, sebelum ini ibu mentuanya antara orang yang paling sibuk menguruskan menu untuk acara makan besar dan juga sambutan perayaan itu.
Namun kali ini, dia kelihatan seperti kurang bersemangat untuk melakukannya dan kesemuanya kini diuruskan oleh anak, menantu dan cucunya.
"Tahun ini nenek kurang semangat... anak cucu beritahu tak boleh balik... dia cakap dia faham... dia cakap nanti semasa sambutan Tahun Baharu Cina, boleh berhubung dengan telefon.
"Biasanya dia tanya nak beli ayam berapa ekor untuk buat masakan Ayam Khai Hong... dia suka masak... tapi tahun ini tak ada," katanya.
Lim yang masih sihat berhijrah ke Terengganu dan tinggal di Kampung Cina di sini sejak lebih 70 tahun lalu mengikut mendiang suami, Poh Chew Say yang bekerja kapal laut.
Sepanjang PKP, dia mengubat kerinduan terhadap anak, cucu serta cicit yang tinggal jauh termasuk di Kuala Lumpur dan Singapura dengan panggilan video.