Warga Britain terselamat, kereta terbakar
Sinar Harian
Mei 16, 2022 06:00 MYT
Mei 16, 2022 06:00 MYT
KULAI: Seorang warganegara Britain terselamat daripada maut apabila kereta dipandunya tiba-tiba terbakar di Kilometer 25.9 Lebuhraya Utara Selatan menghala selatan dekat sini pada Isnin.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Fauzi Che Deris berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian tersebut pada jam 2.48 petang.
"Sebelum kejadian, pemandunya yang merupakan warga Britain, Douglesh Geoffrey Tarrant berumur 34 tahun menyedari terdapat asap di bahagian keretanya.
"Mangsa kemudian memberhentikan kereta jenis Honda HR-V itu di tepi jalan bagi menyelamatkan diri sebelum kereta terbakar.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, susulan itu seramai lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurutnya, kebakaran memusnahkan 80 peratus daripada keseluruhan kereta itu dan api dapat dikawal dalam masa tidak sampai lima minit.
"Kereta tersebut didaftarkan di Singapura dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru," katanya.
Tambahnya, operasi tamat pada jam 3.16 petang.
*Berita asal di Sinar Harian