Warga Bangladesh miliki rokok seludup dikenakan bon berkelakuan baik

Bernama
Januari 25, 2019 06:41 MYT
Warga Bangladesh Delowar Hossain (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang bagi menghadapi pertuduhan memiliki barang barang terlarang, 25 Jan, 2019. --fotoBERNAMA
Seorang jurujual warga Bangladesh menarik nafas lega selepas Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat melepaskannya daripada dikenakan denda RM100,000 kerana memiliki rokok seludup.
Majistret A. Akhiruddin @Boy Acho membuat keputusan itu terhadap Delowar Hassan, 27, selepas mempertimbangkan fakta kes, latar belakang tertuduh dan rayuan di hadapan mahkamah.
Mahkamah sebaliknya memutuskan Delowar yang bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai runcit dengan pendapatan bulanan RM1,600 itu dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun beserta cagaran RM5,000 dengan dua penjamin.
A. Akhiruddin berkata ketetapan itu dibuat mengikut Seksyen 294 Kanun Prosedur Jenayah setelah mengambil kira fakta kes selain tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Delowar yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan terhadap isteri dan seorang anak di Bangladesh.
Mengikut kertas pertuduhan, Delowar didakwa memiliki barangan dilarang iaitu 1,272 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM128.76 dengan duti import dianggarkan sebanyak RM254.40.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah premis beralamat di No. 18, Jalan Seroja 6, Bandar Baru Salak Tinggi pada 8 malam, 16 Januari lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia Muhammad Khairul Farhan Mohd Rakbi yang antara lain memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira peruntukkan undang-undang Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
#Bangladesh #bon berkelakuan baik #cagaran #cukai #denda #hukuman ringan #jenayah #jurujual #kastam #mahkamah #Mahkamah Majistret #penjara #rokok seludup #undang-undang
;