Warga Bangladesh mengaku salah cuba rasuah polis RM200

Abd Razak Mohd Ali
Jun 23, 2022 11:45 MYT
Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang anggota polis pada Februari lalu. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas tuduhan memberi rasuah RM200 kepada seorang anggota polis pada Februari lalu.
Tertuduh, Sirajul Nojrulislam, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Hindi di hadapan Hakim M. Bakri Abd Majid.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM200 kepada seorang koperal polis sebagai balasan tidak mengeluarkan saman terhadapnya kerana tidak memakai topi keledar.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Batu 10 Segari dalam Daerah Manjung, kira-kira jam 5.20 petang, 17 Februari lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau satu bulan penjara jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut melucut hakkan wang rasuah RM200 kepada kerajaan bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanraja Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
#Rasuah #anggota polis #warga asing #Sirajul Nojrulislam
;