Warga Bangladesh maut terjerumus dalam tangki kumbahan minyak sawit
Shuhada Abdul Kadir
September 13, 2020 18:14 MYT
September 13, 2020 18:14 MYT
Seorang lelaki warga Bangladesh maut, selepas terjatuh ke dalam tangki kumbahan minyak sawit ketika melakukan kerja pemasangan paip bomba di sebuah kilang pemprosesan hasil sawit di Jasin.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi, mangsa yang berusia 39 tahun dikatakan berada di atas bumbung sebelum secara tiba-tiba terjatuh ke dalam tangki setinggi 4.5 meter.
Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, ketika kejadian mangsa bersama dua rakan sudah dua bulan melakukan kerja pemasangan paip bomba di kilang terbabit.
Mangsa yang berada di bahagian atas bumbung tanpa memakai pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) itu, bagaimanapun tersilap langkah dan terjerumus ke dalam tangki dengan kepanasan suhu kira-kira 60 darjah Celcius.
Bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.
“Cabaran kita adalah cecair tu panas, dan kita takut ia akan cederakan anggota kita, jadi kita kena gunakan pam, dan kedua, kawasan tu dalam… lebih kurang 5 meter. Jadi kita kena gunakan sistem tali dan menggunakan escavator untuk angkat mayat tu.
“Dan kita pun khuatir kalau kita salah angkat, takut mayat tu terkesan pada suhu yang panas. Jadi kita kena angkat dia betul-betul supaya tak beri kesan pada jenazah berkenaan,” katanya.
Mengulas lanjut ujarnya, mayat mangsa ditemui pada jam 2.45 petang sebelum kerja-kerja mengeluarkanya dilakukan selepas ia dikesan di bahagian dasar tangki.
Dua jentera dan sebuah unit EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin dan Jasin Bestari digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 11.24 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, pasukan polis menerima panggilan daripada penyelia kilang memaklumkan kejadian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat tergelincir dan jatuh kedalam tangki panas serta tiada unsur khianat atau jenayah.
#EMRS
#Hazmat
#Jasin
#maut terjatuh
#minyak sawit
#Polis Daerah Jasin
#tangki kumbahan
#warga Bangladesh