Warga Bangladesh maut, motosikal terbabas dalam longkang
Abd Razak Mohd Ali
September 22, 2021 11:13 MYT
September 22, 2021 11:13 MYT
KUALA KANGSAR: Seorang lelaki warga Bangladesh maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Kilometer 52, Jalan Ipoh - Taiping, di sini, awal pagi ini.
Dalam kemalangan kira-kira jam 12.05 tengah malam itu, mangsa Md Oasim Uddin, 25, yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda itu dalam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Padang Rengas.
Menurutnya, ketika melalui kawasan kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas hingga melanggar batu penghadang jalan.
"Mangsa terjatuh ke dalam longkang bersama motosikalnya.
"Dia berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Omar Bakhtiar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat yang akan dijalankan selepas menerima keputusan ujian calitan COVID-19.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.