Warga Bangladesh maut kenderaan dipandu rakan langgar tiang elektrik

Astro Awani
September 26, 2020 19:39 MYT
Nahas yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu mengakibatkan mangsa Md Hasanuzzaman, 58 tahun maut di tempat kejadian. - Astro AWANI
Seorang buruh binaan warga Bangladesh maut selepas kereta yang dinaiki bersama empat lagi rakannya hilang kawalan sebelum melanggar sebatang tiang elektrik.
Kejadian berlaku di kilometer 89 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Ladang Gajah Mati, Dungun, pada Sabtu.
Nahas yang berlaku kira-kira jam 8 pagi itu mengakibatkan mangsa Md Hasanuzzaman, 58 tahun maut di tempat kejadian.
Ketika kejadian, mangsa bersama empat lagi rakan senegaranya dikatakan dalam perjalanan dari arah Jerangau menghala ke Jabor.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu oleh rakannya dikatakan hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebatang tiang elektrik.
Susulan kejadian itu, pemandu serta penumpang yang lain dipercayai telah melarikan diri namun kesemua mereka berjaya dikesan sekitar jam 3.10 petang tadi.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Beliau berkata ,susulan kemalangan itu empat lagi rakannya yang berusia antara 24 hingga 50 tahun turut mengalami kecederaan ringan.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut manakala empat lagi rakan mangsa turut menerima rawatan di hospital yang sama.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#Dungun #Jabor #Jalan Jerangau #kemalangan #Md Hasanuzzaman #Polis Daerah Dungun #tiang elektrik #warga Bangladesh
;