Warga Bangladesh mangsa dihempap konkrit meninggal dunia - Polis
Astro Awani
Jun 21, 2021 15:00 MYT
Jun 21, 2021 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Seorang daripada dua pekerja pembinaan yang dihempap konkrit runtuh di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) berhampiran susur keluar Kota Damansara, di sini, meninggal dunia, pada Ahad.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam satu kenyataan kepada media.
"Salah seorang mangsa yang berumur 53 tahun telah meninggal dunia di Hospital Sg Buloh pada pagi (Ahad), 20 Jun 2021 jam lebih kurang 7 pagi akibat kecederaan dalaman yang serius serta cedera di kepala dan tangan kiri.
"Manakala seorang lagi berumur 25 tahun masih menerima rawatan lanjut di hospital," katanya.
Pada Sabtu, dua pekerja pembinaan cedera selepas konkrit di NKVE berhampiran susur keluar Kota Damansara yang sedang dalam pembinaan runtuh sekitar jam 7.15 malam.
Kedua-dua mangsa warga Bangladesh dilaporkan sedang melakukan kerja di bawah konkrit berkenaan yang kemudian runtuh dari ketinggian 12 meter.
Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Berhad (Prolintas) selaku pemaju projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan operasi pembersihan perancah besi atau 'scaffolding' bersambung hari ini.
#Bangladesh
#Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Berhad
#DASH
#Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam
#Lebuh Raya Baru Lembah Klang
#NKVE
#dihempap konkrit runtuh
#Hospital Sg Buloh