Warga Bangladesh dituduh rogol anak tiri 12 tahun
Abd Razak Mohd Ali
Julai 5, 2024 11:40 MYT
Julai 5, 2024 11:40 MYT
IPOH: Seorang lelaki warganegara Bangladesh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Jumaat atas pertuduhan merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun 4 bulan, Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 45 tahun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.
Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sendiri dituduh merogol anak tirinya, di sebuah rumah di Taman Malcop, Ipoh, kira-kira jam 1 petang, 23 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan hendaklah juga dihukum tidak kurang 10 sebatan.
Timbalan Pendakwaan Raya, Qurratu'aini Khalifah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh seorang warganegara asing dan mangsa adalah anak tirinya.
Bagaimanapun, peguam C Kaladevi yang mewakili tertuduh meminta mahkamah mempertimbangkan jaminan kerana tertuduh telah tinggal Malaysia sejak 29 tahun lalu dan mempunyai dokumen yang sah, di samping telah berkahwin dengan warga tempatan.
Menurutnya, mangsa juga telah diambil oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan akan dihantar ke Sabah untuk dijaga oleh datuk dan neneknya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM12,000 dengan dua penjamin warga tempatan di samping pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai, tidak boleh menghubungi atau mengganggu saksi dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Mahkamah turut menetapkan 12 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen.