Warga Australia yang kapal layarnya terdampar dijumpai selamat

Bernama
Disember 11, 2016 07:54 MYT
Kapten David Lenton pemilik kapal layar Mishiwa yang ditemui terdampar di persisiran pantai Daerah Maritim 13 Miri hari ini, selepas mengalami kerosakan enjin sejak Sabtu. - Bernama
Seorang warga Australia yang kapal layarnya terdampar di perairan cetek kira-kira lima batu nautika dari pantai Miri malam Sabtu dijumpai selamat pada Ahad.
Jurucakap Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim Miri (DM13) pada 5.55 petang semalam menerima laporan bahawa kapal layar "Mishiwa" milik David Lenton, 71, mengalami masalah enjin semasa dalam pelayaran ke destinasi yang tidak diketahui dari Miri.
Lenton dilaporkan seorang diri dalam pelayaran itu.
Muhd Hanizam berkata sebaik menerima laporan, APMM Miri menghantar sebuah kapal untuk menjejaki beliau dan kapal layarnya.
Mereka akhirnya berjaya mengesannya tetapi percubaan untuk menunda kapal layar itu balik ke Miri tidak dapat dilakukan kerana keadaan ombak besar.
Beliau berkata Lenton dinasihatkan supaya meninggalkan kapal layarnya dan kembali ke Miri dengan menaiki kapal APMM.
"Tetapi beliau menolak untuk berbuat demikian. Jadi pasukan kami mengambil keputusan untuk kembali ke Miri kerana keadaan ombak besar.
"Pagi tadi, seorang kawan Lenton menghubungi kami untuk memaklumkan bahawa beberapa orang nelayan tempatan telah menjumpai beliau," katanya
Jurucakap itu berkata, oleh kerana pelayar itu dijumpai selamat, APMM Miri mengambil keputusan tidak melancarkan operasi mencari dan menyelamat untuk mencarinya semalam.
Beliau berkata Lenton sendiri bertanggungjawab untuk berusaha membawa kapal layarnya kembali ke Miri untuk pembaikan. -- Bernama
#Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia #APMM #David Lenton #Miri #pelayar Australia
;