Warga Australia buang air kecil di tempat awam didenda RM100
Bernama
November 22, 2023 16:46 MYT
November 22, 2023 16:46 MYT
SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadap seorang juruelektrik warga Australia kerana membuang air kecil pada tembok dekat tempat letak kereta di sebuah pusat beli belah di Subang Jaya, dekat sini, minggu lepas.
Tertuduh, Chih Peter, 32, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Inggeris di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Berdasarkan pertuduhan, Peter didakwa berkelakuan kurang sopan di tempat awam dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan.
Tertuduh melakukan kesalahan tersebut yang tular dalam media sosial di tempat meletak kereta USJ 10 City Mall, pada jam 10.51 malam, 16 Nov lalu.
Tertuduh, yang tiba dari Australia pada 13 Nov lalu untuk menziarahi saudaranya itu, dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100.
Terdahulu, peguam tertuduh R. Morhaneraj memaklumkan bahawa tertuduh terdesak untuk membuang air kecil di kawasan tempat meletak kenderaan kerana tidak dapat menahan untuk pergi ke tandas ketika kejadian.
"Bagaimanapun, anak guam saya tidak menyedari kejadian tersebut dirakam. Namun tertuduh sudah mendapat pengajaran tentang kejadian ini dan tidak akan mengulangi perkara itu di masa akan datang," katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran kemudiannya memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum dan tertuduh juga diingatkan perlu menjaga adab ketika berada di negara orang.
Sasha Diana kemudian menetapkan denda RM100 terhadap tertuduh dan penjara selama sehari jika gagal membayarnya.
Tertuduh membayar denda tersebut.
-- BERNAMA