Warga ATM bakal terima vaksinasi secara pandu lalu - Ismail Sabri
Bernama
Jun 3, 2021 16:49 MYT
Jun 3, 2021 16:49 MYT
KUALA LUMPUR: Kem Perdana Sungai Besi di sini dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu untuk warga tentera dan keluarga mereka menerusi projek rintis yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Selepas selesai pemberian vaksin kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan keluarga mereka maka barulah akan dibuka kepada orang awam manakala tempat pemberian vaksin itu pula akan diumumkan kemudian.
"Konsep ini akan lebih mudah, selamat dan akan mencepatkan lagi proses pemberian vaksin dan akan dapat mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan rakyat dengan lebih berkesan," katanya pada sidang media selepas menghadiri pelancaran pembinaan Hospital Modular COVID-19 ATM di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, di sini hari ini.
Mengenai Hospital Modular COVID-19 ATM, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) berkata, hospital itu yang akan dibina berkonsepkan pre-fabricated modules, dijadualkan siap dalam tempoh tiga bulan, memuatkan 64 katil termasuk 16 untuk unit rawatan rapi.
Mengulas isu 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional baru-baru ini, Ismail berkata, isu itu telah diselesaikan oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Panglima TUDM, Jen Tan Sri Ackbal Abdul Samad pada Selasa dilapor berkata, penerbangan 16 pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara di Sarawak pada 11.53 pagi dan hasil daripada pemintasan udara yang dilaksanakan, pesawat itu dikenal pasti adalah daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20, yang merupakan pesawat pengangkut strategik dan berupaya melaksanakan pelbagai misi. - BERNAMA
#Pusat Pemberian Vaksin
#pandu lalu
#PPV pandu lalu
#Kem Perdana Sungai Besi
#vaksin COVID-19
#Angkatan Tentera Malaysia
#warga ATM
#ismail sabri yaakob