Warga asing terlibat kebakaran kilang gas meninggal dunia

Bernama
Januari 22, 2025 05:15 MYT
Sebuah kilang penyimpanan gas musnah dalam kebakaran yang turut merebak ke dua bangunan lain di taman perindustrian di Klang, lewat malam Isnin. - Gambar fail
SHAH ALAM: Seorang lelaki warga asing yang terlibat dalam kebakaran di sebuah kilang penyimpanan gas di Klang dekat sini lewat malam Isnin, meninggal dunia pada 6.32 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara S.Vijaya Rao berkata mangsa mengalami kesan kebakaran tahap tiga dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Tunku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Beliau berkata tiga lelaki termasuk mangsa mengalami kecederaan akibat kejadian itu manakala tiga yang lain selamat.
Vijaya Rao berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada tong gas petroleum cecair (LPG) yang disimpan di pekarangan premis tersebut.
"Kerugian dianggarkan sekitar RM5 juta dengan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya.
Pada Selasa, Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar dilaporkan berkata sebuah kilang penyimpanan gas musnah dalam kebakaran yang turut merebak ke dua bangunan lain di taman perindustrian di Klang lewat malam Isnin.
-- BERNAMA
#kebakaran kilang #warga asing meninggal dunia #kilang penyimpanan gas terbakar #Klang
;