Warga asing meninggal dunia dalam perjalanan menuju PPV
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 22, 2021 18:24 MYT
Ogos 22, 2021 18:24 MYT
KENINGAU: Seorang lelaki warga asing meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Keningau pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Keningau DSP Shahrudin Mat Husain dalam satu kenyataan berkata, lelaki warga asing yang berusia 57 tahun itu berjalan kaki dari rumahnya di Kampung Pampang yang terletak 2.1 kilometer dari PPV itu.
"Lebih kurang 9.30 pagi, bilik gerakan IPD Keningau menerima laporan dari anggota polis yang menjalankan tugas kawalan lalu lintas di PPV, mengatakan ada seorang lelaki rebah dipercayai meninggal dunia di bawah di luar kawasan Kompleks Sukan Keningau.
"Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan pegawai perubatan Hospital Keningau telah tiba di lokasi memberikan bantuan kecemasan dan mengesahkan lelaki terbabit telah meninggal dunia.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Keningau untuk siasatan lanjut," katanya.
Tambahnya mangsa berjalan kaki ke PPV tersebut untuk menghadiri janji temu vaksin yang didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera.
"Maklumat awal yang diterima, mangsa rebah secara tiba-tiba di tempat kejadian dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan kematian diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya.
#warga asing
#meninggal dunia
#PPV
#Keningau
#Sabah
#polis
#PDRM
#vaksin
#vaksinasi
#Kampung Pampang