Warga asing maut dihempap sisa runtuhan dinding rumah
Astro Awani
Jun 2, 2020 21:10 MYT
Jun 2, 2020 21:10 MYT
Seorang lelaki warga Indonesia maut dihempap sisa runtuhan dinding rumah dalam pembinaan ketika sedang menjalankan kerja pembersihan runtuhan itu di Taman Silibin Indah, Ipoh pada petang Selasa.
Mangsa yang dikenali sebagai Junaidi Razak, 40, meninggal dunia di tempat kejadian selepas bahagian belakang rumah teres itu runtuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.
“Berlaku pula satu runtuhan bangunan di mana dinding di bahagian itu telah menghempap mangsa. Kita telah keluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kita akan membuat siasatan lanjut tentang punca-punca yang menyebabkan berlakunya kejadian ini. Kami juga dimaklumkan insiden yang berlaku ini dalam perhatian pihak tertentu.
“Ia untuk mengenal pasti apakah punca sebenarnya yang menyebabkan runtuhan di bahagian kawasan perumahan ini khususnya di bahagian belakang yang berhampiran dengan satu anak sungai,” katanya.
Tambahnya, runtuhan itu juga ada kaitan dengan insiden isu hakisan tanah yang berlaku kepada lapan buah rumah di Taman Silibin Indah yang mendapat liputan media sebelum ini.
Terdahulu, isu hakisan tanah di taman perumahan itu turut mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.
Zuraida dalam kenyataannya meminta Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil tindakan secara teliti mengenai rungutan penduduk taman perumahan itu berkaitan isu hakisan tanah berhampiran kediaman mereka kerana didakwa masih tiada tindakan susulan sejak kejadian itu berlaku pada 14 Mei lalu.
Tambah beliau, penguatkuasa MBI perlu meneliti terlebih dahulu sama ada tanah kediaman itu tanah pemilikan sendiri, kerajaan negeri atau tanah milik MBI sebelum sesuatu tindakan diambil.
#anak
#bomba
#Indonesia
#Ipoh
#kerajaan
#KPKT
#mangsa
#maut
#Media
#meninggal dunia
#polis
#siasatan
#Taman Silibin Indah
#warga asing
#Zuraida Kamaruddin