Warga asing masuk secara haram, 5 termasuk pegawai imigresen ditahan

Siti Nur Aqilla Omar
Mac 6, 2024 11:10 MYT
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 8.30 pagi hari ini bagi mendapatkan permohonan reman. -Gambar hiasan
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor dengan kerjasama Unit Integriti Jabatan Imigresen Negeri Johor menahan tiga orang pegawai imigresen dan dua orang awam kerana kesalahan meminta dan menerima rasuah.
Menurut sumber, kelima-lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 35 hingga 46 tahun.
"Tiga pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan dua orang awam tersebut ditahan kira-kira jam 5 petang hingga 11 malam semalam secara berasingan di di Pejabat SPRM Johor dan di Larkin, di sini.
"Difahamkan, pasukan integriti Jabatan Imigresen Negeri Johor telah membuat pemeriksaan pematuhan integriti berkala di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).
"Pasukan terbabit telah memeriksa telefon bimbit milik pegawai yang sedang bertugas dan telah menjumpai beberapa pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp dalam telefon bimbit pegawai yang mengandungi penawaran dan penerimaan wang rasuah daripada warga asing.
"Warga asing ini didapati ingin memasuki Malaysia melalui pegawai-pegawai imigresen tersebut tanpa melalui proses dan prosedur yang betul mengikut Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bil. 03 Tahun 2019 dan Akta Imigresn 1956/63," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 8.30 pagi hari ini bagi mendapatkan permohonan reman.
#SPRM #Rasuah #warga asing #Imigresen
;