Warga asing lengkap vaksinasi, kanak-kanak dibenar solat di masjid, surau di Perak

Abd Razak Mohd Ali
November 1, 2021 21:42 MYT
Warga asing yang lengkap dos vaksinasi dan kanak-kanak berusia lebih 12 tahun dibenarkan untuk solat fardu dan Jumaat di masjid serta surau di seluruh Perak, berkuat kuasa esok (Selasa). - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Warga asing yang lengkap dos vaksinasi dan kanak-kanak berusia lebih 12 tahun dibenarkan untuk solat fardu dan Jumaat di masjid serta surau di seluruh Perak, berkuat kuasa esok (Selasa).
Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kebenaran itu diberi selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Bagaimanapun, katanya, kebenaran diberikan kepada warga asing dengan syarat mereka telah mengambil dua dos vaksin (Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac) dan melepasi 14 hari selepas dos kedua; atau satu dos vaksin bagi (Cansino, Moderna dan Johnson & Johnson) dan melepasi 28 hari selepas dos pertama itu.
“Mereka juga hendaklah mematuhi semua syarat-syarat lain seperti mana jemaah warganegara tempatan,” katanya dalam pekeliling yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Di samping itu, katanya, mereka juga dibenarkan untuk menyertai semua aktiviti pengajian, pengimarahan masjid dan surau seperti sambutan Maulidur Rasul, Maal Hijrah dan program berkhatan dengan peserta luar kariah dalam negeri Perak.
Menurutnya, penganjuran program tersebut hendaklah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh JAIPk dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Selain itu, kata beliau, aktiviti membaca al-Quran juga dibenar menggunakan al-Quran yang terdapat di masjid dan surau di samping membenarkan pintu masjid dibuka sepanjang solat dan selepas solat.
Mohd Yusop berkata, pihak pengurusan masjid dan surau diminta mematuhi pekeliling ini dan garis panduan yang sedia ada bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19, menetapkan langkah-langkah pencegahan dan keselamatan bagi memastikan kesihatan awam tidak terjejas.
#warga asing #Kanak-kanak #masjid #surau #JAIPk #imarah masjid #solat fardu #Solat Jumaat
;