Warga asing ditemui mati selepas sambutan tahun baru
Aizat Sharif
Januari 2, 2013 16:45 MYT
Januari 2, 2013 16:45 MYT
Seorang lelaki warga Myanmar yang baru sahaja pulang dari meraikan sambutan tahun baru di ibunegara telah ditemui mati dipercayai dibunuh di Jalan Kenanga off Jalan Loke Yew, semalam.
Mangsa berumur 25 tahun dipercayai telah ditikam sebelum telefon bimbitnya dan dompetnya dilarikan penjenayah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata mangsa dipercayai telah didatangi oleh sepuluh lelaki yang kemudiannya telah menyamun mangsa.
“Kejadian berlaku pada 2 pagi dan ketika itu mangsa sedang berjalan seorang diri pulang menuju ke rumahnya di sekitar Jalan Kenanga. Mangsa cuba melawan ketika disamun namun telah ditikam oleh suspek,” kata Ku.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, sebelum kejadian itu, polis telah menahan tiga warga asing di sekitar Jalan Hang Kasturi sebelum kejadian tersebut sebagai langkah-langkah pencegahan.
Polis mendapati ketiga-tiga suspek ini sedang berjalan dengan dua buah parang dan sebuah tukul besi dan tujuan mereka membawa senjata itu masih disiasat.