Warga asing ditangkap selepas menyamun
Bernama
Julai 10, 2016 18:38 MYT
Julai 10, 2016 18:38 MYT
Seorang warga Indonesia tidak sempat menikmati wang samunnya apabila dia ditahan orang ramai tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata suspek yang berusia 33 tahun itu sebelum itu dilapor menyamun seorang wanita berusia 29 tahun di Taman PKNK di sini pada pukul 12.30 tengah malam.
Beliau berkata suspek meragut beg mangsa dari arah belakang dan terus melarikan diri menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.
"Orang awam dan suami mangsa yang berada di kawasan berkenaan yang mendengar jeritan itu berjaya menangkap suspek dan menyerahkannya kepada polis," katanya.
Di dalam beg itu terdapat wang tunai RM200.
Mohd Rozi berkata suspek menetap di kawasan flat berhampiran lokasi kejadian.