Warga asing ditahan ancam guna 'bakakuk'
Petrus Bernard
Mei 25, 2022 11:30 MYT
Mei 25, 2022 11:30 MYT
TAWAU: Berang kerana ditegur, seorang lelaki warga asing nekad bertindak mendatangi mangsa dengan membawa senapang buatan sendiri atau dikenali sebagai bakakuk dalam kejadian di Sungai Imam, di sini, pada Isnin.
Namun akibat tindakan lelaki berusia 35 tahun itu dia ditahan pihak polis di sebuah rumah di kawasan kampung itu sekitar jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebaik sahaja menerima laporan, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai membuat serbuan di sebuah rumah di Sungai Imam bagi mengesan suspek.
Katanya, suspek yang menyedari kehadiran polis cuba melarikan diri, namun gagal apabila dia ditahan selepas berlaku pergelutan.
"Hasil pemeriksaan menemui senjata api buatan sendiri serta beberapa peralatan di dalam rumah berkenaan.
"Siasatan awal mendapati suspek warga asing yang masuk dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya ketika dihubungi, pada Rabu.
Jasmin berkata, suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/62.