Warga asing dipenjara 18 bulan, denda RM300,000 isi petrol tanpa permit
Petrus Bernard
Jun 15, 2022 23:34 MYT
Jun 15, 2022 23:34 MYT
TAWAU: Padah memindahkan 500 liter petrol ke dalam bekas tanpa permit, seorang lelaki warga asing dihukum penjara 18 bulan dan denda RM300,000 di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.
Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu ke atas Abdul Rajul Diliun, 45, selepas dia mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan dia dipenjara dua tahun jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, dia melakukan perbuatan itu pada 1 Jun lepas, kira-kira jam 11.40 pagi di sebuah stesen minyak di Semporna.
Berikutan itu dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(2) Akta 122.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh bersama beberapa lagi yang lain ditahan sepasukan anggota polis ketika Ops Kontraban.
Tertuduh ketika itu sedang leka mengisi minyak petrol di sebuah stesen minyak ke dalam 20 bekas yang dipercayai diangkut menggunakan kereta sorong.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepenggunaan (KPDNHEP) Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.