Warga asing dicekup polis bersama syabu bernilai hampir RM23,000

Ruzaini Zulkepli
April 12, 2019 19:00 MYT
Syabu yang berjaya dirampas dalam tangkapan suspek di tepi jalan Lorong Bandar Putra, Manggatal, Kota Kinabalu. - Astro AWANI
Hasrat seorang warga asing untuk mengaut untung RM22,950 dipercayai dengan aktiviti gelapnya menjual dadah jenis syabu akhirnya berkecai apabila suspek dicekup polis dalam serbuan di tepi jalan Lorong Bandar Putra, Manggatal, Kota Kinabalu, pada Jumaat.
Dalam tangkapan jam 5.10 petang Khamis lalu, suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditahan bersama tiga bungkusan plastik lutsinar masing-masing berisi dadah syabu seberat 153 gram.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abdul Rakman dalam kenyataan medianya hari ini berkata, hasil maklumat dan risikan, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik pihaknya berjaya mengesan suspek di lokasi itu sebelum tangkapan dilakukan.
"Semasa tangkapan dibuat pihak polis, suspek telah bertindak agresif dan cuba melarikan diri, namun hasil kecekapan anggota bertugas, lelaki itu berjaya ditahan.
"Hasil pemeriksaan menemukan tiga bungkusan plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki syabu dan jumlah rampasan barang kes daripada tangkapan ini adalah seberat 153 gram di mana nilai rampasan adalah RM22,950," katanya.
Beliau berkata, tangkapan tersebut dijalankan bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran dadah yang dipercayai wujud di kawasan tersebut.
"Kejayaan tangkapan ini adalah berdasarkan maklumat risikan dan awam ke atas sarang penagih bagi memastikan penyalahgunaan serta pengedaran dadah dapat dibendung sepenuhnya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.
#Dadah #jenayah #Kota Kinabalu #PDRM #polis #suspek dicekup polis #Syabu #warga asing
;